Kursus Awal Belajar Bahasa Jepun

Pada ketika itu, kursus bahasa asing tidak diajar pun di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK). Kami di sekolah beraliran kebangsaan sebenarnya tidak mempunyai kelebihan pun berbanding dengan murid-murid di aliran Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) atau sekolah-sekolah berasrama penuh seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Secara tidak langsung, dasar dari perdana menteri yang pelik seorang ini pun telah mempengaruhi kami untuk memaksa diri mengambil aliran sains walaupun sebenarnya kami tidak mengetahui pun kecenderungan kami sebenarnya di mana. Aku sebenarnya lebih berminat untuk mempelajari bahasa Jepun bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai ajaran Buddha Mahayana atau falsafah dhyana, falsafah Shinto dan ingin melancong di Jepun berbanding dengan belajar ilmu teknologi Doraemon mereka itu.

Selain itu, pelajar yang melanjutkan pengajian ke Jepun, Korea dan lain-lain negara asing dipandang tinggilah oleh masyarakat sekeliling. Sedangkan, kami yang tidak ke mana-mana ini hanya menjadi rumput di tepian jalan sahaja di Malaysia ini.

Aku berusaha belajar sendiri bahasa asing ini semata-mata untuk membuktikan bahawa hal ini tiada kena mengena dengan dasar bodoh perdana menteri Malaysia yang pada ketika itu sibuk hendak menunjuk hebat berkelahi dengan Margaret Thatcher, perdana menteri Britain.

Kini, terutamanya selepas serangan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia aku mendapati bahawa pembelajaran bahasa asing untuk kemudahan komunikasi dan menunjuk-nunjuk semakin mendapat tempat. Lihat sahajalah di saluran-saluran arkib audio-visual Youtube. Banyak sekali video-video yang dimuat naik oleh peminat linguistik terutamanya dari Barat. Mereka berminat untuk menunjukkan kemahiran dan bakat berbahasa asing khususnya bahasa orang Asia. Kalau tak percaya buka sahajalah Youtube atau aku mungkin boleh menempeknya sahaja di sini untuk kemudahan merujuk.