Dasar "Buy British Last" 1981

Dalam sejarah moden di Malaysia, satu-satunya kempen boikot atau pemulauan yang paling memberikan sekali ialah dasar "Buy British Last" yang dilancarkan semasa era Dr. Mahathir Mohamad baru menjadi perdana menteri.

Sebelum itu, Dr. Mahathir masih lagi menjawat jawatan Menteri Pendidikan. Kerajaan British tidak semena-mena tanpa sebarang perbincangan telah menaikkan kadar yuran pengajian mahasiswa luar dari Britain yang menuntut di negara tersebut. Yuran pengajian tersebut amatlah mahal dan tidak munasabah. Salah satu negara yang terkesan akibat hal ini adalah Malaysia kerana ketika itu ramai sekali penuntut Malaysia belajar di Britain.

Sejak pasca kemerdekaan lagi, Malaysia saban tahun menghantar pelajar cemerlangnya ke Britain bagi mendapatkan kelulusan dan pendidikan yang terbaik. Harapannya semoga pelajar-pelajar ini akan pulang berbakti dan menyumbang kepada pembangunan negara selepas tamat pengajian. Malaysia sangat memerlukan kelompok rakyat yang berkelulusan tinggi pada pada ketika itu jadi segala yuran dan kos pengajian pelajar tersebut ditaja oleh Malaysia.

Bila mana Britain menaikkan yuran pengajian, ia sedikit sebanyak memberikan kesan kepada peruntukan dan bajet pendidikan Malaysia. Ia meningkat tiga kali ganda kos yang sebelumnya dan hal ini cukup memeritkan bagi Malaysia. Lantas, sebaik saja Dr. Mahathir dilantik menjadi perdana menteri Malaysia sekitar Julai 1981, beliau merasakan bahawa sesuatu harus dilakukan bagi mengajar Britain supaya tidak membuat pendirian sesuka hatinya serta peraturan yang menindas. Britain barangkali beranggapan bahawa mereka masih lagi "Tuan" di Tanah Malaysia ini.

Sebelum itu, Britain beberapa kali mempamerkan sikap angkuh mereka kepada negara bekas anak jajahan seperti Malaysia. Mereka menolak permintaan syarikat penerbangan Malaysia (MAS) untuk mendarat di Lapangan Terbang Heathrow, tapi dalam masa yang sama meminta Malaysia membenarkan pesawat Concorde milik mereka dalam perjalanan ke Singapura mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang. Dalam masa yang sama, pasaran bijih timah keluaran Malaysia turut dimanipulasi oleh Britain. Mereka mengaut keuntungan berganda-ganda sedangkan Malaysia hanya menerima saki bakinya saja. Hasil negara masih lagi dipagut oleh negara penjajah walaupun setelah merdeka.

Keangkuhan mereka ini umpama, 'kaki tidak menjejak tanah'. Lalu, Dr. Mahathir telah mengambil langkah dan dasar yang drastik bagi menggertak Britain. Maka, lahirlah dasar "Buy British Last". Malaysia ketika itu ialah sebuah negara pertanian yang baru hendak menjengah ke bidang industri. Kepakaran anak tempatan amatlah kurang. Oleh itu, segala aspek pembangunan negara banyak dikontrakkan kepada syarikat dan firma luar negara, terutamanya dari Britain.

Dr. Mahathir menetapkan dan menegaskan bahawa dek kerana Britain berdegil mahu menaikkan caj yuran pengajian pelajar dari Malaysia di negara itu maka sebagai tindak balas, Malaysia tidak akan lagi menganugerahkan sebarang kontrak atau tender kepada mana-mana syarikat atau firma dari Britain. Tiada sebarang kertas putih atau dasar pun ia hanya sekadar dasar di mulut sahaja.

Namun, hal ini sudah cukup membuatkan syarikat-syarikat di Britain gelisah. Kelompok syarikat ini bimbang akan mengalami kerugian ratusan juta pound sterling sekiranya benar kerajaan Malaysian meneruskan dasar ini. Sehinggakan pada suatu masa, semua firma dan syarikat British dari segenap lapangan perniagaan sepakat membida ruang iklan di akhbar-akhbar tempatan, menyatakan pendirian yang mereka akan setia, komited, adil dan bersungguh-sungguh membantu kerajaan Malaysia membangunkan negara tanpa sebarang prejudis. Iklan ini penuh satu muka surat akhbar.

Margaret Thatcher, perdana menteri Britain yang digelar juga "Wanita Besi" turut beberapa kali meminta Malaysia mempertimbangkan agar dasar "Buy British Last" ini tidak diteruskan. Britain risau dan bimbang seandainya dasar ini dilaksanakan dengan sebenar-benarnya maka ekonomi Britain pasti akan tergugat dengan sendirinya. Margaret Thatcher bertemu Dr. Mahathir beberapa kali bagi membincangkan mengenai hal ini. Sedikit gertakan diplomasi ini saja sudah membuatkan gergasi gementar.

Hal ini belum lagi termasuk dengan cerita kisah "Serangan di Waktu Subuh" iaitu kisah pengambilalihan aset estet milik Guthrie di Malaysia. Hal ini menjadi tamparan Malaysia yang hebat kepada Britain. Beberapa ahli korporat dan ahli perniagaan Malaysia melalui arahan Dr. Mahathir telah menggunakan kelemahan sistem Bursa Saham di London untuk mengambil alih aset-aset Guthrie. Semua aset berupa estet dan cabang perniagaan Guthrie ini mengaut keuntungan dari bumi Malaysia. Maka, rakyat Malaysia yang sepatutnya mengaut hasil ini dan bukan mereka. Peristiwa yang digelar juga sebagai "Dawn Raid" ini menyebabkan firma di Britain gentar. Mereka bimbang jika hal yang sama berlaku juga kepada syarikat mereka. Lantaran itu, banyak firma ini risau akan mengalami kerugian besar lalu mereka pun menjual segala kepentingan dan aset firma mereka di Malaysia kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Sejak itu, Malaysia tidak lagi memandang Barat sebagai model. Malaysia beralih menjadikan Jepun pula sebagai model yang harus dicontohi. Hasil dari sikap ini maka lahirlah "Dasar Pandang ke Timur" di Malaysia. Inilah sedikit sebanyak kisah, bagaimana satu dasar boleh memberikan impak yang cukup besar kepada negara bekas penjajah.